Breaking News
Popular News

Enter your email address below and subscribe to our newsletter
Rumah Tradisional Melayu merupakan antara senibina terawal yang didirikan di Gugusan Kepulauan Nusantara. Walaupun masa beredar dengan begitu pantas, namun seni bina rumah tradisional orang Melayu masih utuh berdiri bak kata pepatah tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
Sehingga kini, kita masih boleh temui rumah tradisional ini sama ada secara fizikal ataupun telah menjadi sebahagian artifak sejarah. Senibina rumah tradisional ini memang tidak dapat disangkal lagi kehebatannya sehinggakan pada suatu ketika pernah dinobatkan sebagai antara seni bina terbaik dunia. Dengan ini, ia dapat membuktikan bahawa orang Melayu zaman dulu atau nenek moyang kita dulu sememangnya genius!
Apa sebab rumah tradisional Melayu boleh jadi antara seni bina terbaik dunia?
Kalau anda perasan, bila kita balik ke kampung, rumah kayu ini sentiasa dalam keadaan sejuk saja. Tambah pula pada waktu tengah malam. Sejuk dia memang tak boleh bawak bincang langsung. Boleh rasa sampai ke pangkal tulang dan merekot kesejukan lah kita malam buta tu kalau tak ada selimut.
Apa sebenarnya sebab rumah tu jadi sejuk? Jawapan dia adalah rumah kayu ada banyak laluan angin. Dengan papan lantai rumah ada sedikit ruang. Atas tingkap ada lubang angin. Bumbung pula kebiasaannya berlapis. Kalau tak pun, mesti ada lubang angin.
Kenapa dibuat begitu?
Sebab haba (angin panas) bergerak dari bawah ke atas. Bila ada banyak lubang angin, haba ada laluan untuk keluar. Sebab itu, kalau rumah ada siling tinggi rasa kurang panas berbanding dengan rumah bersiling rendah.
Pada masa dulu, bila yang perempuan ikut mak-mak pergi kenduri di kampung, orang perempuan mesti akan masuk ikut pintu tengah atau pintu dapur. Lelaki pulak masuk ikut pintu depan. Seolah-olah macam tak adil lah kan benda ni.
Tetapi rupanya, pengaruh Islam bukan setakat pada agama saja, bahkan dalam kehidupan seharian orang Melayu itu sendiri.
Sebab itu ada 2 pintu. Biasanya ruang anjung atau serambi, ruang untuk orang lelaki berbual-bual. Orang perempuan pula bersosial sebelah dalam rumah; bahagian dapur atau rumah ibu. Rumah ibu ni biasanya bahagian tengah rumah dan sedikit luas. Kalau tengok cerita drama, biasanya mak-mak terlantar sakit di ruang rumah ibu inilah.
Pernah tak anda terfikir kenapa rumah kampung tinggi?
Ada banyak faktor sebenarnya yang menyebabkan rumah kampung dibina tinggi. Salah satunya adalah kerana rumah kampung dulu tak ada pagar. Masa dulu, orang lalu celah-celah rumah kalau nak ke kedai atau ke surau.
Cuba anda bayangkan, kalau kita tak dapat kawal mata, sebolehnya kita intai rumah orang lain. Atas sebab itu jugalah, kenapa rumah kampung biasanya tinggi-tinggi.
Selain itu, nak elak binatang buas atau liar masuk ke dalam rumah dan juga faktor iklim kita iaitu musim hujan yang kadang-kalanya menyebabkan banjir. Lagipun, ruang bawah rumah boleh dijadikan tempat simpanan barang. Macam stor.
Bila balik ke kampung, kebanyakan rumah tradisional ni nak cari kiblat cukup mudah. Bentang saja sejadah, tegak dan lurus. Tak perlu lagi mencari-cari kiblat di mana.
Biasanya bahagian depan dan belakang rumah menghadap arah Utara Selatan. Manakala bahagian kiri kanan rumah menghadap Timur Barat. Secara tak langsung, rumah menghadap kiblat dan laluan angin (cross ventilation). Sebab itu kalau duduk di serambi, sedap ditiup angin sepoi-sepoi.
Secara keseluruhannya, tebukti yang orang dahulu bukan setakat bahasanya indah. Semuanya berseni. Bahkan susun atur rumah pun bermaksud.
Sumber FB: Nazia Suhaimi