Breaking News
Popular News

Enter your email address below and subscribe to our newsletter
Kemudahan hospital RM475 juta kukuhkan kedudukan Cyberjaya sebagai Hab Teknologi Global
CYBERJAYA – 25 September 2017 – Komuniti Cyberjaya tidak lama lagi bakal menyaksikan sebuah hospital baharu yang akan siap dibina menjelang 2020. Dengan keluasan 12.8 ekar dan terletak di Cyber 11, hospital yang mempunyai kapasiti 288 katil ini mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan bukan sahaja kepada penduduk Cyberjaya, tetapi juga penduduk sekitar seperti di Puchong, Dengkil dan Sepang. Hospital kerajaan ini merupakan sebuah kompleks 9 tingkat yang dilengkapi dengan 8 tingkat kompleks parkir dan 965 tempat letak kereta.
“Hospital Cyberjaya ini adalah usaha kerajaan dalam menawarkan kemudahan dan solusi pintar kepada rakyat seiring kemajuan negara dalam meningkatkan piawaian sistem penjagaan kesihatan,” kata Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia semasa majlis pecah tanah Hospital Cyberjaya hari ini.
Menurut Menteri Kesihatan, hospital ini akan dibangunkan dengan menekankan faktor kelestarian dan kecekapan tenaga menerusi reka bentuknya yang memenuhi piawaian pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).
“Selain Hospital Cyberjaya, sehingga kini terdapat kira-kira 10 lagi hospital hijau bakal dibangunkan di seluruh negara selaras dengan piawaian pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI). Malah, sukacita saya maklumkan bahawa Hospital Cyberjaya ini akan menjadi hospital pertama bertaraf platinum di bawah pensijilan GBI ini,” tambah Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Antara ciri-ciri kelestarian kemudahan kesihatan bernilai RM475 juta ini termasuklah orientasi tenaga solar yang optimum dan juga teknologi pengumpulan tenaga. Hospital yang dijangka siap pada November 2020 ini bakal mengurangkan kesesakan di hospital-hospital kerajaan di kawasan berhampiran seperti Putrajaya dan Sepang.
“Sesungguhnya, pengumuman Hospital Cyberjaya tepat pada masanya lebih-lebih lagi dengan sambutan 20 tahun Cyberjaya tahun ini,” kata Mohd Najib Ibrahim, Pemangku Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd.
“Dalam usaha kearah transformasi Cyberjaya sebagai Hab Teknologi Global, kami terus komited untuk memastikan bandar ini mampu memenuhi keperluan masyarakat sekitar. Ini termasuklah pembinaan infrastruktur seperti Hospital Cyberjaya yang akan terus menyumbang kepada matlamat yang ingin dicapai dengan pelbagai ciri-ciri inovatif dan mampan,” tambah Mohd Najib.
Menurut Mohd Najib, perkataan ‘inovasi’ telah menjadi satu istilah popular masa kini di mana ia cukup sinonim dengan pembuatan paten dan juga keuntungan, tetapi di persekitaran bandar pintar Cyberjaya, manfaat kepada masyarakat merupakan keutamaan paling penting. Hospital Cyberjaya akan menjadi hospital perintis yang menggunakan modul penuh HIS@KKM, sebuah platform sistem maklumat hospital kerajaan yang digunakan secara efisien untuk menguruskan sistem termasuklah Sistem Maklumat Farmasi, Sistem Pengurusan Pesakit, dan Sistem Maklumat Penjagaan Kritikal.
Hospital Cyberjaya merupakan salah satu daripada pelbagai projek pembangunan yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Cyberjaya sebagai model bandar pintar adalah di antara 11 pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sambutan 20 tahun Cyberjaya pada bulan Mei lalu. Pengumuman tersebut termasuklah pembangunan Fasa 1 Cyberjaya City Centre, penubuhan hab Inovasi dan Penyelidikan & Pembangunan (R&D), hab teknologi kewangan serantau, dan juga projek-projek melibatkan pusat big data, yang bermatlamat untuk menggalakkan kerjasama strategik dan meningkatkan potensi Cyberjaya sebagai Bandar Pintar dan Makmal Hidup untuk pelaksanaan inovasi dalam pelbagai elemen seperti infrastruktur, ekonomi, kelestarian dan sosial.
Pada bulan Ogos, Cyberview Sdn Bhd telah mengesahkan pelantikan Gadang Engineering (M) Sdn Bhd sebagai kontraktor utama pembinaan hospital ini.
“Adalah amat penting bagi kami untuk bekerjasama dengan rakan strategik yang berkebolehan dan berkemampuan dalam memenuhi keperluan infrastruktur di bandar pintar Cyberjaya ini. Kami amat gembira dengan kerjasama yang dijalankan ini dan yakin Gadang Engineering mempunyai kemampuan untuk memenuhi semua kriteria dan keperluan yang ditetapkan,” kata Ahmad Faizul Ramli, Ketua Bahagian Pengurusan Projek, Cyberview Sdn Bhd.
Menurut Faizul lagi, hospital ini terletak di tapak yang membolehkan pembesaran hospital dilakukan pada masa hadapan. Setakat ini, ia mempunyai kapasiti sehingga 288 katil dan dijangka mampu menampung tambahan 150 katil lagi di masa hadapan.