Breaking News
Popular News

Enter your email address below and subscribe to our newsletter
Berita Harian pernah melaporkan seorang abang dibunuh oleh adiknya kerana isu perbalahan harta pusaka. Mangsa dikatakan mati kerana dihentak alat pemadam api oleh adiknya sendiri. Insiden ini merupakan insiden yang berlaku tahun lepas.
Jangan terkejut sebenarnya bukan hanya masyarakat Malaysia atau Melayu sahaja yang berhadapan dengan masalah ini. Tahun lepas juga seorang suami artis Korea Selatan juga dibunuh kerana isu perebutan harta pusaka datuknya. Boleh baca lanjut disini. Banyakkan insiden dan tragedi kerana perebutan harta pusaka ini?
Seriuslah sekali baca kisah-kisah ini dah macam layan telenovela Indonesia. Tak pun Filipina atau slot drama Melayu. Tetapi malangnya inilah realiti apa yang berlaku. Jadi macam mana cara terbaik untuk uruskan harta pusaka ini? Mungkin awak tak perlukan pun harta pusaka ini tetapi dengan memahami pengurusan harta pusaka ini mungkin awak boleh bantu waris-waris lain yang ada isu dengannya.
KakiProperty pernah siarkan satu artikel mengenai seorang mak cik ini menguruskan harta peninggalan suaminya disini.
Dalam Islam kepentingan menguruskan harta pusaka ini boleh dirujuk dalam Al- Quran. Menurut Surah An-Nisa ayat 29 yang bermaksud, ‘Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan cara yang batil’
Tetapi sebelum tu kenalah faham dulu kan apa itu harta pusaka. Kalau tak panjang berjela pun cerita mungkan tak faham.
Dalam pemahaman masyarakat kita, mereka kerap kali memanggil harta pusaka ini sebagai harta yang ditinggalkan oleh waris-waris. Ini kurang tepat ini kerana bukan semua harta yang ditinggalkan oleh simati merupakan harta pusaka.
Harta Pusaka boleh ditakrifkan sebagai aset dan tanggungan yang ditinggalkan oleh seseorang apabila berlakunya kematian dan akan diwarisi oleh waris yang berhak mengikut undang-undang.
Dari sudut syarak pula, harta pusaka ialah sesuatu yang boleh dibahagikan dan sabit kepada berhak (kerana keturunan atau perkahwinan) setelah berlaku kematian kepada pemunya.
Namun perlu diingatkan terdapat beberapa keadaan harta yang tidak akan tergolong sebagai harta puska untuk dibahagi-bahagikan iaitu harta simati yang dihibahkan. Hibah bermaksud hadiah. Cuma Hibah ini termanya dalam bahasa arab. Bahasa senang nak faham ialah simati sebelum dia meninggal dia sudah hadiahkan semua atau sebahagian harta dia kepada orang lain.
Jangan lupa juga, kalau harta itu menjadi harta wakaf itu juga tidak boleh diambil oleh waris. Wakaf ini pula tidak terhad kepada fizikal semata-mata. Tetapi ada juga yang wakafkan hasil daripada hartanya untuk diberikan kepada pihak-pihak tertentu. Jadi waris tolonglah jangan berebut harta wakaf ini sebab ia bukan harta pusaka untuk dibahagi-bahagikan.
Harta yang dipegang amanah oleh simati juga tidak termasuk dalam harta pusaka. Maksud jenis harta ini ialah pada waktu simati hidup simati memegang amanah atau menjaga harta orang lain atas amanah. Mungkin kerana orang yang dijaga itu tidak cukup umur ataupun Orang Kelainan Upaya yang tidak berupaya menjaganya sendiri.
Sebelum itu Harta Pusaka ini kalau ikut undang-undang Malaysia ada pengelasan. Pengelasan pertama ialah pusaka kecil dan pengelasan keduanya dipanggil pusaka besar.
Takda pusaka sederhana ye.
Pusaka kecil ini kalau harta pusaka tersebut bercampur semua bernilai kurang RM2,000.000.00. 2 juta. Maksud bercampur semua tu ialah harta alih atau tidak alih yang ada. Harta alih itu contohnya macam kereta, motosikal, basikal, duit, iphone dan sebagainya. Harta tak alih tu pula kena ingat formulanya iaitu harta itu memang besar dan susah nak bawa kehulur kehilir. Contoh rumah dan tanah.
Pusaka besar itu pula ialah apabila dicampur semua melebihi RM2 juta. Maksudnya RM2,000,001.00 ke atas. Samalah seperti pasaka kecil tadi, pusaka besar terdiri daripada harta alih dan tak alih. Pusaka besar ini mempunyai nilai yang besar lagi rumit.
Selepas kenal pasti harta pusaka yang boleh dibahagi-bahagikan, seterusnya kena dan wajib cari waris. Waris ini dalam erti kata mudah orang yang berhak mewarisi harta simati. Boleh jadi anak beranak, adik beradik atau sedara mara.
Untuk orang Islam, pengelasan waris dan bukan waris ini jelas. Ada panduannya yang boleh dirujuk dilaman-laman web Majlis agama Islam tempatan. Bab waris ini memang kena uruskan betul-betul ya. Jangan agak-agak.
Sebab itu lagi cepat uruskan harta peninggalan ini lagi baik. Jangan tangguh kalau tidak makin kompleks untuk mencari waris yang berhak.
Ada banyak cara dan jalan yang boleh guna. Kalau nak yang mudah mungkin boleh pertimbangkan cara seperti ini:
Ini paling penting setelah apa yang telah saya terangkan diatas. Kalau boleh senaraikan kesemua harta dan jangan tertinggal. Kalau harta itu ialah harta alih yang boleh dinilaikan terus harganya maka boleh lah dinilaikan.
Menurut Akta Tafsiran 1967, Harta Tak alih ialah tanah, kepentingan, hak atau faedah yang akan didapati daripada tanah. Untuk menilai harta tidak alih seperti rumah dan tanah yang nilainya bergantung kepada harga pasaran, bolehlah dibuat terlebih dahulu kajian harga pasaran. Peringkat ini tidak memerlukan lagi nilai yang sebenar.
Waris-waris juga semestinya perlu menyediakan semua dokumen yang berkaitan dengan Harta Pusaka. Contohnya kalau ada kereta jadi kenalah cari geran kereta balik. Kalau kereta belum habis bayar boleh dapatkan dari bank pembiaya. Begitu juga dengan rumah. Paling kurang pun salinan geran perlu ada.
Alamak dah kenapa? Sebab samaada waris memilih permohonan untuk sijil Faraid mahupun Surat Kuasa Mentadbir, perincian mengenai harta itu diperlukan. Benda penting kot.
Dalam hal ini, semua waris mesti dikenalpasti. Sekiranya waris terdekat masih hidup maka ia lebih mudah. Sekiranya salah seorang waris itu meninggal dunia maka waris kepada waris tersebut perlu dikira bersama sebagai waris kepada harta simati.
Kalau simati itu suami yang beristeri dua, isteri muda pun kena kira sekali sebagai ahli waris. Jangan tertinggal. Waris yang biasa ialah isteri, anak-anak, ibu bapa atau adik beradik. Hanya kemudian baru ia beralih kepada saudara mara yang lain.
Kalau orang Islam mulakan dengan memohon sijil faraid di mahkamah syariah dulu. Dah pening? Kalau belum jom baca lagi. Faraid ini pembahagian seperti yang ditentukan oleh hukum syarak. Ia sudah ditetapkan berapa jumlah yang waris patut dan layak menerima. Dibawah sistem faraid ini setiap waris akan menerima jumlah yang tersendiri. Misalnya 1 per 2 daripada keseluruhan harta, 2 per 3 atau ada yang mendapat hanya baki.
Sekarang ini mudah sahaja, kalau nak tahu lebih lanjut boleh google sahaja. Cuma jumlah atau kadar yang tepat hanya akan dikeluarkan oleh pihak Mahkamah. Klik sini untuk simulasi pengiraan Faraid.
Buatlah permohonan untuk mendapatkan sijil faraid di Mahkamah. Permohonan menerusi Notis Permohonan dan disertakan bersama Afidavit Sokongan. Biasanya didalam Afidavit Sokongan, Pemohon akan menceritakan fakta mengenai simati dan juga harta yang ditinggalkan. Dalam afidavit itu juga diberitahu senarai harta dan jumlah harta yang ditinggalkan oleh simati.
Selain daripada itu mesti sediakan juga sijil kematian simati, kad pengenalan atau sijil beranak anak-beranak dan juga senarai harta bersama dengan dokumen yang berkaitan dengan harta.
Kalau di negeri Selangor sekiranya harta bernilai RM300,00.00 dan ke bawah kita mesti failkannya di Mahkamah Rendah Syariah. Sekiranya lebih daripada nilai itu perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah.
Apabila sudah lengkap dokumen dan difailkan, Mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran dan perbicaraan. Hanya selepas Mahkamah berpuas hati dengan dengan bukti-bukti dan keterangan diberikan barulah Sijil Faraid dikeluarkan.
Didalam perintah tersebut akan dinyatakan berapa banyak bahagian waris yang telah ditentukan oleh Mahkamah. Jangan curiga atau was-was dah sebab ia sahih dan bukan cobaan.
Apabila sudah tahu berapa bahagian yang ahli waris akan perolehi, seterusnya kena memohon surat kuasa mentadbir. Siapa pula yang kena memohon ni? Kalau 10 orang waris, siapa kena mewakili waris-waris tersebut?
Jawapan dia senang je, salah seorang waris tersebut dilantik sebagai Pentabir untuk memohon Permohonan mendapatkan surat kuasa Mentadbir atau Letter of administration (LA). Jangan takut, Pentadbir kerja dia hanya mentadbir harta sahaja tidak bermaksud dia boleh membolot ke semua harta. Jadi kurangkan kerisauan tu ye.
Setelah tentukan siapa yang akan dilantik sebagai Pentadbir, bolehlah pilih tempat untuk memfailkan prmohonan surat kuasa Mentabir. Ada dua tempat iaitu Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil dan kedua ialah di Mahkamah Tinggi.
Bagi harta pusaka kecil iaitu dibawah RM2 juta permohonan boleh dibuat di Unit Pembahagian Pusaka Kecil manakala untuk harta-harta yang bernilai lebih daripada RM2juta permohonan Surat Kuasa Mentadbir perlu dibuat di Mahkamah Tinggi.
Untuk tentukan pejabat pusaka yang mana lebih sesuai untuk memfailkan permohonan pusaka kecil, ia bergantung dimana harta tak alih atau harta itu berada. Sekiranya ia berada di Hulu Langat maka di Pejabat Daerah Hulu Langat la waris perlu memfailkan. Begitu juga dengan Mahkamah Tinggi. Ia lebih mudah bergantung kepada lokasi harta tak alih simati. Tetapi ia bukanlah satu kewajipan hanya ingin memudahkan.
Tetapi macam mana pula kalau simati meninggalkan lebih daripada satu harta tak alih yag berada di daerah atau negeri berlainan? Bagi keadaan seperti ini waris boleh memfailkan disalah sebuah pejabat pusaka tempat harat tak alih tersebut berada.
Permohonan di Unit Pembahagian Pusaka Kecil dilakukan dengan mengisi Borang A yang boleh didapati Pejabat Pusaka atau didalam Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Setiap permohonan itu serupa seperti Permohonan sijil Faraid perlu disertakan sijil kematian, dokumen harta tak alih dan dokumen harta alih.
Selepas memfailkan permohonan yang lengkap, Pentadbir Tanah akan mengeluarkan notis 14 hari untuk perbicaraan kepada semua pihak berkepentingan. Bagi pihak yang tidak dapat hadir, mereka mesti menandatangani surat akuan persetujuan yang ditandatangani dihadapan Pentadbir Tanah, Majistret, Pesuruhjaya Sumpah dengan menyatakan cara pembahagaian yang dikehendaki dengan jelas.
Berapa lama masa diambil untuk menyelesaikan isu ini? Ia mengambil masa lebih kurang 5 bulan bagi kes kematian satu lapis dan tiada pertelingkahan.
Walaubagaimanapun untuk permohonan yang melibatkan pusaka besar, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat guaman memandangkan ia melibatkan prosedur mahkamah. Secara umumnya permohonan dibuat melalui pemfailan petisyen dan borang penolakan oleh waris-waris.
Sudah tu bila baru boleh bahagikan harta pusaka? Adakah selepas mendapat perintah mentadbir harta pusaka?
Sebenarnya prosiding permohonan pentadbir harta pusaka hanya untuk melantik pentadbir. Tak lebih daripada itu. Namun kebiasaannya di Unit Pembahagian Harta Pusaka Perintah Pembahagian ini dikeluarkan serentak selepas perbicaraan. Perintah Pembahagian dikeluarkan melalui borang E manakala Pentadbir Tanah akan mengeluarkan Borang 10 untuk Perintah Perlantikan Penjaga. Ini bagi kes salah seorang waris bawah umur ataupun Orang Kelainan Upaya.
Terdapat beberapa cara Pentadbir boleh membuat pembahagian harta pusaka pertama melalui hukum syarak iaitu faraid bagi orang Islam, pembahagian secara muafakat bagi waris-waris dan bagi yang bukan Islam pembahagaian berasaskan Akta Pembahagian 1958.
Bagi prosiding di Mahkamah Tinggi, kebiasaannya selepas perintah mentabir dikeluarkan waris boleh memohon untuk perintah pembahagian harta pusaka. Dengan adanya perintah ini, waris baru boleh mengambil tindakan yang bersesuaian dengannya.
Dengan Perintah Pembahagian tersebut, pihak waris bolehlah mendaftarkan kepentingan hak milik mereka. Sekiranya melibatkan harta tak alih seperti rumah atau tanah-tanah, waris memerlukan borang pindahmilik atau 14A untuk mendaftarkan kepentingan waris.
Kebiasaannya borang pindahmilik tersebut akan ditandatangani oleh Pentadbir harta pusaka sebagai pemberi dan waris sebagai penerima mengikut bahagian yang telah diputuskan oleh pejabat pusaka ataupun Mahkamah Tinggi didalam perintah pembahagian.
Pengurusahan Harta Pusaka ini perlu dilakukan tanpa berlengah. Selain itu harta pusaka ini penting diuruskan mengikut undang-undang kita. Bukan main bedal je kan. Terdapat kesan sekiranya harta pusaka ini diuruskan berlengah.
Bagi orang Islam, setiap penangguhan menguruskan harta pusaka akan membuka peluang terdedah kepada penggunaan harta simati secara tidak sah. Bagi simati yang meninggalkan anak yatim, mungkin pengendali termakan bahagian anak yatim tersebut yang semestinya berdosa bagi Muslim.
Setiap waris mempunyai hak terhadap harta simati. Lebih-lebih lagi waris satu lapis yang mepunyai pertalian yang dekat dengan simati. Sekiranya pengurusan harta pusaka ini dilakukan dengan sambil lewa, mungkin hasrat simati tidak dapat dipenuhi.
Antara hak simati yang perlu dilunaskan oleh warisnya ialah hutang. Segala hutang piutang simati perlu dilunaskan oleh keluarga simati. Hutang ini termasuklah hutang dengan manusia ataupun hutang dalam agama seperti pembayaran fidyah ataupun nazar.
Sekiranya makin lambat siwaris menguruskan harta pusaka simati, lapisan waris akan bertambah. Paling mudah dalam pengurusan harta pusaka ini ialah menguruskan waris satu lapis sahaja. Iaitu yang hanya melibatkan waris terdekat tetapi apabila bertahun menangguhkan dan membiarkan harta pusaka ini tanpa diuruskan, apabila mana-mana waris meninggal maka waris kepada waris tersebut ditambah menjadi waris kepada harta simati.
Banyak harta pusaka yang tidak terurus. Ia menyebabkan harta tersebut seperti tanah-tanah terbiar daripada dibangun dan dimajukan. Perlu diingatkan di Malaysia tanpa pendaftaran hak milik tiada apa yang waris boleh lakukkan keatas harta simati. Ada juga kemungkinan sekiranya tanah pusaka yang tidak dibayar cukai tanah dirampas oleh pihak pejabat tanah.
Urusan transaksi keatas hartanah terbabit sukar untuk dijalankan. Sekiranya tanah atau rumah tersebut hendak dijual, pembeli perlu mendapat persetujuan waris-waris. Waris-waris tersebut tidak boleh sewenang-wenangnya menjual tanpa kebenaran waris-waris lain.
Justeru sekiranya waris berlengah, kemungkinan besar sukar untuk menemukan dan mendapatkan persetujuan waris-waris untuk berurus niaga keatas hartanah terbabit. Ini akan merugikan semua pihak juga.
Dokumen penting seperti surat kematian perlu dijaga dan diuruskan dengan baik. Normal sekiranya waris sendiri terlupa atau kehilangan dokumen penting seperti ini kerana masa yang diambil tersangat lama. Justeru lebih cepat ia diuruskan maka lebih baik bagi waris-waris. Kehilangan sijil kematian misalnya memerlukan cabutan keatas sijil kematian dilakukan dan ia akan memerlukan kos. Begitu juga dokumen hartanah seperti geran dan sebagainya. Sekiranya hilang, serabut dan peninglah waris.
Justeru isu berkaitan dengan harta pusaka ini perlu diuruskan dengan baik dan efektif. Ia bukan sahaja melibatkan anda seorang tetapi juga melibatkan waris-waris yang berhak.