Enter your email address below and subscribe to our newsletter

Merdekakah kita? Negara Tergadai Bila Pelabur China Membeli Hartanah Malaysia?


Isu ini terlalu kompleks untuk dibincangkan tanpa fakta yang kukuh. Segelintir daripada rakyat Malaysia beranggapan bahawa tanah negara kita (Malaysia) akan/telah tergadai pada pelabur luar. Ada juga yang menafikannya!

Jika diamati, Malaysia seperti ‘dibanjiri’ pelabur dari China dengan beberapa pelaburan projek hartanah di Malaysia seperti Projek Bandar Malaysia. Melaka Gateway, Forest City, Laluan pembinaaan landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Projek Mega di Pulau Pinang. Adakah dengan pelaburan syarikat luar di dalam pembangunan negara akan menyebabkan negara tergadai? Adakah ada tanah yang tergadai dalam mana-mana usaha pembangunan projek ini?

Isu tanah tergadai, mungkin bukan perkara baru. Tetapi telah berlaku sejak berzaman. Mengapa? Mari kita kupaskan dan renungkan…

Kenapa pelabur asing ada di Malaysia?

Malaysia Foreign Direct Investment.

Mengalu-alukan pelabur dari Jepun, China, Arab Saudi, Amerika Syarikat atau Singapura.

Malaysia My Second Home Programme (MM2H)

Membenarkan warga asing untuk menetap di Malaysia untuk jangka masa yang lama bersama dengan pasangan dan anak di bawah umur 21 tahun(belum berkahwin). Tetapi mereka tidak boleh bekerja di Malaysia.

Dasar dan program kerajaan sebenarnya mengalakkan pelabur luar masuk ke dalam Malaysia. Alasannya mungkin berkait dengan faktor ekonomi, sosial dan politik.

“Jika pelaburan itu memberi tambah nilai kepada ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, kedatangan pelabur amat dialu-alukan.”
– Datuk Seri Najib (PM)

Meskipun begitu, kebajikan penduduk setempat tetap perlu di utamakan dan di titik beratkan. Kesan yang akan menimpa penduduk negara ini bukan sahaja akan dirasai pada masa terdekat, tetapi berlanjutan ke generasi seterusnya.

Tanah Rizab, Tanah milik orang Melayu Tergadai?

Isu pembangunan Forest City, yang melibatkan pembinaan pulau buatan manusia seluas 1,386.05 hektar oleh Country Garden Holdings Co LTD dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd dikaitkan dengan gadaian tanah rizab melayu atau tanah pusaka. Pembinaan projek mega ini sama sekali tidak berlaku di atas tanah semenanjung. Tetapi ia berlaku di atas permukaan laut di dalam kawasan perairan Malaysia.

Kedudukan projek Forest City di antara Malaysia dan Singapura
Kedudukan projek Forest City di antara Malaysia dan Singapura

Secara zahirnya, ramai akan beranggapan bahawa tiada tanah milik persendirian terlibat dalam menjayakan projek mega ini. Kerana Forest City merupakan usaha untuk membina pulau yang baru. Dikukuhkan lagi dengan kedudukannya di atas air, bukannya di atas tanah!

Namun, menurut Seksyen 5 Kanun Tanah Negara 1965 “tanah” didefinasikan sebagai.

(a)       Permukaan bumi dan semua benda yang menjadi permukaan bumi tersebut;

(b)       Bumi di bawah permukaan bumi dan segala benda di dalamnya;

(c)        Segala tumbuh-tumbuhan dan lain-lain keluaran semulajadi, sama ada atau tidak

memerlukan penggunaan buruh secara berkala untuk pengeluarannya, dan sama ada di atas atau di bawah permukaan bumi;

(d)       Segala benda yang bercantum kepada bumi atau yang terpasang dengan kekal kepada apa-apa benda yang bercantum kepada bumi, sama ada di atas atau di bawah permukaan bumi; dan

(e)       Tanah yang dilitupi air.

Ya, Seksyen 5 (e) KTN 1965 dengan terangnya menyatakan bahawa sungai, laut dan sebagainya adalah tanah! Malah hak laut negeri adalah 3 batu nautika diukur dari garis air surut. Kesimpulannya, projek ini melibatkan pengunaan tanah dan berada dalam lingkungan perairan negeri.

 Penggunaan tanah, bagaimana?

Bagaimana pulau buatan manusia ini akan di bina. Semestinya mereka perlu menambak laut atau cut and fill process. Ianya melibatkan penggunan tanah yang banyak. Kebanyakkan proses ini melibatkan penggunaan tanah bukit dan pasir laut. Dari mana datangnya sumber tanah ini, jawapannya dari bukit-bukit yang berada di tanah semenanjung dan pasir di dasar laut perairan Malaysia. Sekali lagi, adakah tanah bukit boleh dikategorikan sebagai tanah rizab?

Menurut Enakmen Rizab Melayu(NNB Bab 142), tanah rizab boleh diisytiharkan sebagai Tanah Kerajaan, Tanah Hutan Simpan, Tanah Rizab Awam dan Tanah Milik.

Tanah apa dan siapa diperlukan untuk menjayakan projek ini? Adakah tanah untuk proses tambakan laut ini berhubung kait dengan tanah rizab? Sekali lagi, tanah siapa yang akan terlibat?

Proses tambakan laut bukan hanya berlaku di Johor. Malah proses ini sedang berlaku di di Negeri Melaka dan Pulau Pinang dalam usaha yang sama mewujudkan pulau buatan manusia.

Tanah Digadai atau Tergadai?


Pembangunan dari pelabur luar sangat sinonim dengan stigma negara tergadai. Contohnya, Kelulusan Pinjaman Negeri Pulau Pinang dengan China Exim Bank dan pembinaan Projek Forest City, Melaka Gateway dan sebagainya.

Situasi ini bukan perkara yang baru berlaku. Mungkin, penglibatan antara Malaysia dan negara luar, menampakkan lagi situasi ‘negara tergadai’. Kerana ini melibatkan kepentingan kedua-dua belah negara.

Sebenarnya, dalam skala yang lebih kecil. Tanah milik orang Melayu telah banyak di jual kepada bangsa asing. Malah ada beberapa artikel yang menyatakan kenapa orang Melayu sendiri yang mengadaikan tanah mereka.

“ Sembilan sebab mengapa orang Melayu menjual tanah mereka ialah disebabkan desakan hidup, gaya hidup, mudah ditipu, kurang kesedaran sejarah dan warisan, orang Melayu sendiri menjadi broker tanah, dasar pembangunan, tiada perancangan jangka panjang, agensi kerajaan yang gagal dan tidak ramai pemimpin Melayu yang benar-benar jujur
– Tan Sri Mohd Yussof Latiff (PEMENANG)

Isu tanah tergadai atau digadai bukan perkara baru.Lihat sahaja kes mahkamah yang melibatkan urusan jual beli tanah rizab melayu. Rujuk kes:

T BarIam Singh v Pegawai Pentadbir Pesaka Malaysia [1983] 1 MLJ 232

 Idris Bin Haji Mohamed Amin v Ng Ah Siew [1935] 1 MLJ 257.

Tujuan undang-undang(ERM NNB Bab 142) adalah bahawa tanah itu sepatutnya Tidak jatuh ke tangan orang bukan Melayu … “

Kes-kes terdahulu telah menyatakan bahawa orang melayu sendiri yang mengadaikan tanah mereka ke tangan orang bukan melayu.

Tidak hairanlah jika pegangan Melayu ke atas tanah semakin mengecil peratusannya sekiranya penjualan Tanah Rizab Melayu berlaku dalam masyarakat kita sejak zaman dahulu lagi. Malah, undang-undang sedia ada tidak di fahami dan dipraktikkan sepenuhnya. Menurut kajian yang dijalankan oleh USM  (Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk) pada 2008 mendapati keseluruhan tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 20.41 %. Di khuatiri, peratusannya akan semakin mengecil pada masa hadapan.

Kes penjualan tanah rizab mahupun tanah milik orang Melayu berlaku di mana sahaja. Semestinya transaksi ini berlaku antara orang melayu dan bangsa lain. Masing-masing mempunyai alasan sendiri tentang penjualan tersebut. Kepentingan diri yang adakalanya tidak difahami orang sekeliling. Alasan mereka sendirilah yang akan menentukan tanah itu sebenarnya digadai atau tergadai.

Tanah tergadai bukan hanya berlaku di antara Malaysia dan negara luar (China). Tetapi, di kalangan individu dan individu lain.  Apa yang membezakannya, hanyalah liputan media yang meluas tentang isu tersebut. Jarang sekali kita mendengar liputan tentang jual beli tanah orang melayu dengan orang bukan melayu.

PENUTUP

Menurut Kamus DBP Edisi ke empat, gadai itu membawa maksud pinjaman wang dengan menyerahkan barang sebagai cagaran untuk tempoh tertentu (kalau tidak ditebus dalam tempoh tertentu akan menjadi milik orang yang memberi pinjaman). Tingkah laku individu terhadap transaksi tanah itu yang menentukan sama ada tanahnya digadai, tergadai atau menggadaikan. Sama-sama kita renungkan apakah kita telah/akan tergolong dalam tiga kategori gadai ini. Benarkah dengan hanya pelabur China membeli hartanah di Malaysia boleh dikatakan negara kita tegadai? Sedangkan ada segelintir orang Melayu yang memiliki tanah, menjualnya pada bangsa bukan Melayu. Malah, tanah tersebut merupakan Tanah Rizab Melayu!

Like & Share & Comment artikel ini!

Nak sewa/beli hartanah? Klik sini: Jual/Beli Hartanah

RUJUKAN

  1. https://www.bharian.com.my/node/294941
  2. http://www.mm2h.gov.my/index.php/en/home/programme/
  3. https://www.jkptg.gov.my/ms/content/enakmen-rizab-melayu
  4. http://www.nre.gov.my/ms-my/Tanah/Pages/default.aspx
  5. https://ny.curbed.com/2016/7/19/12212890/governors-island-hills-engineering-west-8
  6. https://m.malaysiakini.com/news/340284#PZKz3FF7hzOp1IYv.99
  7. http://www.malaysiaoutlook.com/projek-rapid-pelaburan-arab-saudi-satu-kejayaan/
Kongsi Artikel Ini
Nurul Zolman
Nurul Zolman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *