Newsletter Subscribe
Enter your email address below and subscribe to our newsletter
Enter your email address below and subscribe to our newsletter
Setiap negeri mempunyai pelbagai adat dan undang-undang yang telah diwarisi semenjak berkurun lamanya. Kebanyakan undang-undang terutamanya dalam konsep pemilikan harta ini adalah bertujuan untuk melindungi hak anak-anak dan mengikut budaya adat perpatih ia lebih kepada melindungi hak anak-anak perempuan terutamana berbanding anak-anak lelaki. Di samping itu jika diperhatikan sebenarnya budaya adat perpatih ini mempunyai keunikan tersendiri yang sukar untuk ditelan zaman.
Mengikut kertas kerja “kajian adat perpatih mengikut harta”, terdapat pelbagai konsep yang telah diketengahkan oleh adat perpatih terutamanya jika kita bercerita mengenai konsep pemilikan harta seperti dipetik daripada Research Gate, agar memberi banyak manfaat terutamanya kepada mereka yang berasal dari negeri sembilan tetapi tidak langsung tahu-menahu mengenai kewujudan konsep pemilihan harta ini.
Harta warisan boleh dikategorikan samada harta pusaka dan harta pencarian. Setiap suku mestilah mempunyai harta pusaka yang tidak boleh dipindahkan kepada suku yang lain. Harta pusaka itu merupakan rumah, tanah sawah dan tanah ladang. Tanah pusaka adalah tanah yang diwarisi turun temurun daripada ibu, ke anak perempuan dan seterusnya kepada keturunan perempuan.
Manakala tanah bukan pusaka adalah tanah carian suami isteri atau carian bujang, yang diperolehi sama ada melalui pembukaan tanah baru atau melalui pembelian tanah baru. Tanah bukan pusaka kepunyaan si bapa tanah akan kekal dikategorikan sebagai tanah bukan pusaka jika diwarisi oleh anggota lelaki, tetapi setelah diwarisi oleh anggota perempuan, tanah itu akan boleh menjadi tanah pusaka adat suku perempuan berkenaan.
Di daerah Kuala Pilah peruntukan tanah pusaka bagi sesuatu suku telah diimplimentasikan melalui konsep tanah adat. Harta pusaka (tanah adat) tidak mungkin dimiliki oleh perseorangan. (Mohd Rosli, 2011). Ini adalah merupakan kaedah ‘survival’ sesuatu suku supaya suku itu tidak terhapus dan berpindah ke wilayah. Setiap suku mesti ada tanah pusaka dan tidak boleh dipindahkan kepada suku yang lain.
Mengikut peruntukan Enakmen Pemegangan Adat Bab 215 dan Enakmen Pemegangan Adat (Tanah Lengkongan) Tahun 1960, tanah adat hanya boleh diwarisi oleh perempuan dari suku yang sama dari pemilik yang sebelumnya. Harta pencarian juga diambilkira dalam Adat Perpatih seperti yang terdapat dalam pepatah/teromba Adat Perpatih ini: Keluak paku kacang belimbing Anak dipangku kemenakan dibimbing Anak dipangku dengan hasil pencarian Kemenakan dibimbing dengan harta pusaka Bagi teromba di atas, Adat Perpatih mengambil kira kedua-dua jenis harta peninggalan (iaitu harta pusaka dan harta sepencarian).
Baris ke tiga didalam teromba membawa maksud anak sebagai waris kepada harta sepencarian. Manakala anak angkat (kemenakan) memberi maksud bahawa anak angkat pula berhak kepada harta pusaka (dengan syarat anak angkat itu telah melalui proses berkadim). Apabila proses mengkadim telah dilaksanakan, si anak angkat itu boleh mewarisi tanah adat dari ibu angkat. Bagi individu perempuan yangg tiada anak perempuan, ianya akan menimbulkan masalah kepada harta pusaka. Harta pusaka hanyalah boleh diwarisi oleh anak perempuan.
Untuk mengelakkan harta keluar dari suku, maka dibolehkan mengambil anak angkat dan dimasukkan kedalam suku tersebut. Dua jenis berkadim iaitu berkadim pinang sebatang dan berkadim aur serumpun. Bagi membolehkan perpindah milik tanah adat kepada anak angkat (seorang perempuan yang bukan dari suku yang sama), Adat Perpatih mewujudkan satu proses yang dikenali sebagai berkadim aur serumpun. Berkadim ini akan dilakukan oleh individu perempuan yang tiada anak perempuan untuk menjaganya di waktu tua dan mewarisi tanah pusakanya.
Begitu juga dengan pembahagian harta tanah pusaka jika mengikut kepada adat perpatih. Anda tentu tidak tahu bahawa terdapat banyak perbezaan jika dibandingkan cara adat perpatih membahagikan harta mereka kepada anak-anak. Terdapat peruntukan yang perlu untuk diikuti oleh Enakmen Pemegang Adat yang memiliki kuasa sama penting dengan Pentadbir Tanah Daerah untuk memberi kesaksamaan dalam proses pembahagian harta.
Secara umum, peruntukan Enakmen Pemegang Adat memberikan kuasa dan hak pembahagian harta pusaka adat kepada Dato’-Dato’ Lembaga. Namun kuasa penuh mereka pada hari ini dikongsi secara bersama dengan Pentadbir Tanah Daerah setelah wujudnya Undang-undang bertulis. Prinsip asas dalam pembahagian ini ialah tanah yang telah dicatat sebagai ‘tanah adat’ adalah dianggap sebagai ‘tanah dapatan’.
Secara ringkasnya, orang-orang yang berhak mewarisi harta tersebut mengikut giliran adalah seperti berikut:
- Anak-anak perempuan si mati (Pembahagian secara rata).
- Cucu perempuan daripada anak perempuan, tidak kira sama ada anak perempuan itu meninggal dunia lebih dahulu atau kemudian dari si mati dan seterusnya hingga ke bawah melalui keturunan sebelah perempuan.
- Ibu si mati d. Saudara perempuan seibu sebapa dan seibu kepada si mati dan anak-anak mereka yang perempuan hingga ke bawah.
- Saudara perempuan seibu sebapa dan seibu kepada ibu si mati dan anak-anak perempuan mereka hingga ke bawah.
- Nenek (Wan) si mati (ibu kepada ibu si mati). Saudara perempuan seibu sebapa dan seibu kepada nenek si mati dan anak-anak perempuan mereka hingga ke bawah.
Giliran yang digambarkan di atas menunjukkan satu prinsip aturan pembahagian tanah pusaka adat yang perlu dipatuhi dan tidak boleh diubah sesuka hati. Sekiranya si mati tidak meninggalkan mana-mana waris perempuan seperti yang disebutkan tadi, suku tersebut diberi pilihan agar mencari waris wanita dari suku yang lain untuk dijadikan saudara dan menjadi suku si mati melalui istiadat berkadimyang seterusnya melayakkannya mewarisi tanah pusaka adat.
Dengan ini dapat disimpulkan bahawa keunikan adat perpatih sebenarnya berjaya dipulihara kerana ia membantu dalam memelihara hak-hak anak-anak terutama yang perempuan untuk mengelakkan mereka akhirnya dari kehilangan tempat tinggal. Semoga budaya yang kaya dengan pelbagai keunikan ini kekal terpelihara agar ia akan terus mekar meniti peredaran zaman dan tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.
Jika ada sebarang komen, atau pendapat boleh la tulis diruang komen ya.
Jangan lupa untuk like FB kami di
FB : Kaki Property
#kakiproperty
Saya ingin bertanya ada kah hilang kelayakan seseorang perempuan keatas tanah pusaka apabila mereka berkahwin dgn lelaki bukan melayu?