Enter your email address below and subscribe to our newsletter

RPGT dalam Bajet 2020 dan kesan kepada pemilik rumah


Pengenalan kepada RPGT

Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau Real Property Gain Tax (RPGT) dalam bahasa mudah ialah cukai yang dikenakan keatas keuntungan dari hasil jualan hartanah.

Cukai ini dikenakan hanya kepada transaksi jualbeli dimana penjual mendapat keuntungan dari harga jual berbanding harga beli rumah tersebut. CKHT tidak dikenakan keatas hartanah yang dijual pada harga yang sama atau kurang dari harga beli.

Cara Pengiraan Cukai

Cara pengiraan cukai diambil dari beza antara harga jual dan harga beli rumah yang berkenaan. Kemudian, ada beberapa kos lain yang dibenarkan untuk ditolak.

Keuntungan boleh dicukai = Harga jual – Harga beli – Pengecualian Cukai (RM10,000 atau 10% dari keuntungan, yang mana lebih tinggi) – Perbelanjaan yang Dibenarkan

Antara perbelanjaan yang dibenarkan yang boleh digunakan untuk mengurangkan keuntungan boleh dicukai ialah yuran guaman, yuran agen hartanah, duti setem, kos pengiklanan jualan rumah, kos ubahsuai hartanah dan kos penilai hartanah.

Kemudian, keuntungan boleh dicukai perlu didarabkan dengan kadar RPGT. Kadar ini bergantung kepada tempoh masa dari tarikh perjanjian beli hartanah sehingga tarikh perjanjian jual hartanah.

Kadar RPGT ialah seperti berikut:

Tempoh masa Syarikat Individu Warganegara Individu Bukan Warganegara
Tahun pertama hingga ketiga 30% 30% 30%
Tahun keempat 20% 20% 30%
Tahun kelima 15% 15% 30%
Tahun keenam dan seterusnya 10% 5% 10%

Belanjawan 2020 dan Impak kepada RPGT

Berdasarkan kepada Bajet 2020 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, kerajaan telah menetapkan nilai pasaran pada 1 Jan 2013 sebagai harga beli untuk hartanah yang dibeli sebelum tarikh tersebut. Ini adalah penetapan baru berbanding nilai pasaran 1 Jan 2000 yang ditetapkan sebelum ini.

Hal ini bermakna, untuk rumah dan kediaman yang dibeli sebelum 1 Jan 2013 tidak lagi perlu menggunakan harga beli dalam pengiraan keuntungan boleh cukai. Ini dapat mengurangkan keuntungan boleh cukai seterusnya kos akhir RPGT yang dikenakan keatas tuan rumah yang berhasrat untuk menjual rumah mereka akan berkurang.

Contoh Pengiraan

Ali membeli rumah kos rendah pada tahun 1995 dengan harga RM80,000. Pada 1 Jan 2000, nilai pasaran rumah yang sama berharga RM100,000 manakala nilai pasaran rumah pada 1 Jan 2013 ialah RM200,000. Ali telah mengeluarkan kos sebanyak RM10,000 untuk membaiki rumah dan renovasi. Ali berhasrat untuk menjual rumah tersebut pada harga RM250,000 dan perlu membayar kadar RPGT yang dikenakan keatas beliau. Berapa kos RPGT yang perlu dibayar?

Situasi 1

Ali berjaya jual rumah tersebut pada tahun 2019.

Harga jual = RM250,000

Harga beli = RM100,000 (Memandangkan Ali beli rumah pada tahun 1995, harga beli bergantung pada nilai pasaran pada 1 Jan 2000)

Pengecualian cukai = RM150,000 x 10% = RM15,000

Perbelanjaan yang dibenarkan = RM10,000

Kadar RPGT = 5%

= [RM250,000 – RM100,000 – RM15,000 – RM10,000] x 5%

= RM125,000 x 5%

= RM6,250

Situasi 2

Ali berjaya jual rumah tersebut pada tahun 2020.

Harga jual = RM250,000

Harga beli = RM200,000 (Memandangkan Ali beli rumah pada tahun 1995, harga beli bergantung pada nilai pasaran pada 1 Jan 2013)

Pengecualian cukai = RM150,000 x 10% = RM15,000

Perbelanjaan yang dibenarkan = RM10,000

Kadar RPGT = 5%

= [RM250,000 – RM200,000 – RM15,000 – RM10,000] x 5%

= RM25,000 x 5%

= RM1,250

Pemilik rumah yang dibeli sebelum tahun 2013 akan mendapat manfaat yang besar hasil dari polisi baru melalui Belanjawan 2020 pada kali ini. Kos cukai RPGT yang dikenakan akan berkurang pada tahun 2020 berbanding tahun 2019. Kalau anda pemilik rumah yang ingin menjual rumah anda, boleh segera hubungi saya sebagai perunding hartanah. Haha.

Pengecualian Cukai

  • Pengecualian sekali seumur hidup untuk penjualan hartanah kediaman bergantung permohonan oleh penjual (Seksyen 8, Jadual 3, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976).
  • Pemberian hartanah sebagai hadiah diantara keluarga. Definisi keluarga termasuk pasangan, ibubapa, anak, datuk nenek dan cucu (Para 12, Jadual 2, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976).
  • Penjualan rumah berharga RM 200,000 dan kebawah untuk tahun keenam dan seterusnya dikecualikan dari dikenakan cukai RPGT.

Cara Pembayaran Cukai

Penjual dan pembeli perlu mengisi Borang CKHT 1A (penjual) dan Borang CKHT 2A (pembeli) untuk dihantar ke Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam masa 60 hari selepas tarikh perjanjian jual dan beli. Bagaimanapun, kebiasaannya borang ini diisi oleh peguam yang terlibat dalam urusan jual beli rumah tersebut.

Mengikut Seksyen 21B(1), Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1967, peguam kepada pembeli perlu menyerahkan 3% dari harga rumah (7% sekiranya penjual bukan warganegara) diambil daripada deposit yang dibayar oleh pembeli ke Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam tempoh masa yang sama.

Peguam juga perlu menyerahkan bukti-bukti dan dokumen sokongan untuk pengiraan cukai. Sekiranya pembeli dan penjual gagal menyerahkan amaun tersebut dalam masa tersebut, penalti sebanyak 10% dari amaun perlu bayar akan dikenakan.

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri

Nak tau lebih banyak tentang kos-kos menjual rumah? Boleh rujuk disini.

Kongsi Artikel Ini
Arif Irfan
Arif Irfan

Perunding hartanah dan juruaudit yang mempunyai minat yang mendalam di dalam hartanah, perniagaan dan perakaunan. Follow saya di https://www.facebook.com/arif.irfan.50 dan https://twitter.com/arif_irfan07.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *