Breaking News
Popular News
![](https://kakiproperty.com/app/uploads/2021/08/IMG20210103124600-1-1024x768.jpg)
Enter your email address below and subscribe to our newsletter
Pada raya aidilfitri tahun ini, saya beraya di Singapura. Keluarga sebelah mak saya kebanyakan berasal dari Singapura. Satu perkara yang saya sukakan tentang Singapura adalah negara nya yang mempunyai sistem yang baik dalam banyak perkara. Saya pernah tuliskan tentang perumahan di Singapura sebelum ini. Tapi kali ini saya nak bercerita pula tentang kematian dan tanah kubur di Singapura yang turut mempunyai sistem.
Singapura ini bagusnya mempunyai sistem untuk banyak perkara. Semua perlu ikut aturan. Kita mungkin suka, mungkin tidak suka dan ada beberapa perkara saya tidak suka juga. Yelah, kita Malaysian pun ada ‘kiasu’ nya juga. Tetapi apa yang pasti, ia memudahkan banyak perkara. Dalam hal tanah perkuburan ini apa yang menarik minat saya adalah cara guna tanah nya yang efisyen.
Tahun ini, keluarga saya menerima kematian 3 orang ahli keluarga terdekat. Semuanya akibat masalah kesihatan. Dan saya hadir pada pengkebumian mereka. Ini adalah apa yang saya perasan.
Sewaktu bapa saudara saya meninggal, kami menuntut mayatnya di motuary(rumah mayat kerajaan). Dari urusan menuntut mayat lagi, seorang ‘Ustaz’ dari sebuah syarikat swasta telah tersedia hadir dengan van nya dan datang menguruskan urusan tuntutan mayat.
Dia seorang sahaja datang, dan dibantu waris, mayat di angkat ke dalam van dan di bawa ke rumah untuk di uruskan.
Sesampainya di rumah, dia mengeluarkan ‘kit pengurusan jenazah’ untuk urusan memandikan dan membersihkan jenazah. Kemudian, di situ juga dia uruskan untuk urusan solat jenazah dan lain-lain.
Dia kemudiannya membawa jenazah dengan di iringi waris yang telah disediakan bas kecil untuk membawa ahli keluarga yang ramai ke kubur untuk di kebumikan dan dia juga menguruskan untuk talkin jenazah tersebut. Semua dibuat dia seorang. Berbeza dengan kita di Malaysia yang kebanyakannya diuruskan oleh kariah masjid/surau.
Di Singapura, ada satu tempat sahaja untuk pengkebumian jenazah iaitu Pusara Aman dan Pusara Abadi. Sebenarnya di kawasan ini adalah tanah perkuburan yang berpusat. Dalam satu tempat yang sama ada seksyen-seksyen berbeza untuk menempatkan tanah perkuburan agama berbeza. Ada tanah perkuburan orang Islam, Kristian, Parsi, Buddha, Hindu, Yahudi dan lain-lain.
Tanah perkuburannya tersusun dan dijaga dengan cantik. Tanah perkuburan ini pula diuruskan oleh kerajaan dan ianya turut lengkap dengan kemudahan. Di perkuburan orang Islam, ada sebuah surau dan juga ada kemudahan tandas yang setaraf dengan R&R.
Yang ni paling menarik. Kalau di sini, kita perlu tunggu untuk kubur siap di korek oleh Tok Adi. Tapi di Singapura, kuburnya sudah siap dikorek awal-awal 4-5 lot. Dan dalam kawasan perkuburan Islam juga mempunyai seksyen-seksyen nya mengikut bulan kematian untuk memudahkan pengurusan.
Kubur-kubur yang dah siap dikorek ini pula di hadang dengan penghadang konkrit supaya ia tidak runtuh.
Setelah beberapa tahun, kubur-kubur yang lama akan dibongkar semula. Tulang-tulang jenazah akan dikutip, dibersihkan dan dikafankan semula kemudiannya dikumpul dengan tulang-tulang jenazah lain. Waris keluarga akan dimaklumkan terlebih dahulu.
Kemudiannya, tulang-tulang ini akan dikebumikan semula dalam satu liang lahad seramai 8 orang dalam satu liang lahad. Ada pula kubur-kubur itu di kuburkan secara bertingkat-tingkat macam flat/apartment. Orang Singapura ni dari hidupnya sampai matinya duduk dalam apartment.
Kalau dilihat, kuburnya dah jadi macam taman. Cuma yang tak patutnya orang di sini mula membuat binaan yang agak besar atas kuburnya. Yang bagusnya, kubur nya nampak selesa dan tak suram. Rumput dipotong bersih dan kubur di jaga rapi tanpa ada lalang.
Ada tukang penjaga kubur yang di gajikan kerajaan untuk membersihkan tanah kubur. Selain dari itu waktu hari raya, ada juga tukang jaga kubur yang datang untuk ambil upah tambahan membersihkan tanah kubur .
Singapura adalah negara yang kecil. Ia perlu menggunakan tanahnya dengan sangat efisyen. Jika tidak, ia akan menyebabkan kesukaran pada masa depan dalam aspek penggunaan tanah.
Selain itu, mereka dapat melaksanakan aspek pengurusan jenazah dengan efisyen kerana sistem kerajaan mereka sendiri sangat efisyen.
Mereka juga dapat menyediakan kemudahan tersebut kerana rakyat sendiri membayar nya dari kutipan cukai GST dan juga dari caruman kepada badan agama mereka sendiri.
Tetapi kita juga perasan kenapa wujudnya perkhidmatan pengurusan jenazah seperti ini adalah sosio masyarakatnya sendiri. Singapura memang terkenal dengan kiasu nya. Kehidupan masyarakat mereka dah ke arah individualistik walaupun masih wujud lagi hubungan masyarakat melalui persatuan Islam, madrasah dan lain-lain.
Tetapi berbeza macam Malaysia yang nilai bermasyarakat masih lagi kuat. Urusan pengurusan jenazah, kenduri dan lain-lain masih dilaksanakan secara gotong royong.
Di Malaysia, kita belum mengalami masalah penggunaan tanah seperti ini. Tetapi di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, kita mungkin memerlukan sistem seperti ini kerana kekurangan sumber tanah lagi.