Enter your email address below and subscribe to our newsletter

Serabut Dan Marah Sebab CKHT 2019? Sebelum Buat Apa-Apa, Baca Ini


Apabila pembentangan bajet 2019 baru-baru ini menyebut perubahan pada kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), ramai yang kerisauan.

Yang belum ada rumah pun jadi risau, entah apa yang dirisaukan pasal cukai ini pun tak tahu. Kalau anda belum ada rumah atau tak nak jual rumah ada, jadi anda tidak perlu risau.

Cukai ini akan dikenakan kepada pemilik yang ingin melupuskan hartanah yang dimilikinya. Cukai ini bukanlah satu yang baru, malah ianya telah diperkenalkan pada tahun 1975 melalui Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

Nama pun Cukai Keuntungan Harta Tanah, maka cukai ini hanya dikenakan jika ada keuntungan modal yang terhasil daripada pelupusan sesuatu hartanah. Jika tak untung? Maka, anda tidak perlulah bayar cukai ini.

Terima kasih kepada Cik Puan Lawyer Jamaliyah daripada Jamaliyah Hidayah & Co. kerana memberikan input yang padat dan ringkas mengenai cukai ini.

CKHT 2019

Bajet 2019 menetapkan;

1. Cukai Keuntungan Harta Tanah dikenakan pada kadar 5% bagi pelupusan hartanah selepas 5 tahun pemilikan. Bagi pemerolehan sebelum tahun 2000, cukai keuntungan akan dikira mengikut nilai hartanah bermula tahun 2000. Sedangkan untuk kadar CKHT semasa, bagi pelupusan hartanah selepas 5 tahun, kadarnya adalah 0%.

2. Terdapat pengecualian cukai ini bagi hartanah kos rendah dan medium sahaja yang dilupuskan pada harga kurang RM200k.

Sebagai contoh untuk kes pemerolehan sebelum tahun 2000; pemilik rumah telah membeli rumah pada tahun 1990.

Jadi untuk perkiraan keuntungan, LHDN akan ambil harga perolehan mengikut nilai pasaran rumah tahun 2000 tolak dengan nilai pasaran semasa jualan.

Ketahuilah Tuan/Puan, usah serabutkan fikiran. Di sini saya senaraikan mengapa anda tidak perlu risau dan bimbang dengan implikasi Cukai Keuntungan Harta Tanah:

1. Cukai Keuntungan Harta Tanah dikira berdasarkan keuntungan BERSIH. Bukan keuntungan kasar.

2. Bagi mendapatkan kiraan keuntungan bersih, terdapat beberapa pembayaran yang anda boleh kepilkan resit pembayaran bagi membuktikan kos yang terlibat dan ditolak daripada keuntungan bersih:

  • Penambahbaikan / baiki kerosakan hartanah
  • Bayaran premium (untuk hartanah pajakan)
  • Kos lantikan ejen hartanah
  • Kos surveyor
  • Kos peguam
  • Setem duti
  • Kos pengiklanan bagi mendapatkan pembeli (jika iklan tanpa melalui ejen)

3. Terdapat pengecualian khas yang disebut dalam perkara 2, Jadual 4 Akta Cukai Keuntungan Hasil Tanah 1976 yang menyebut tentang pengecualian cukai bagi pelupusan oleh individu sebanyak RM10,000 atau 10% daripada keuntungan.

4. Setiap individu boleh memilih memohon pengecualian CKHT sekali seumur hidup – Perenggan 9, Jadual 3 Akta CKHT 1976.

5. Pelupusan dengan balasan kasih sayang, turun-milik akibat kematian, pelupusan hartanah untuk tujuan kebajikan, dan pengambil alihan hartanah oleh kerajaan tidak dikenakan sebarang cukai.

BORANG CKHT 1A

Dilampirkan borang CKHT 1A dan perenggan terlibat untuk rujukan Tuan/Puan. Semoga membantu Tuan/Puan membuat kiraan awal.

Borang CKHT 1A, Bahagian D
Borang CKHT 1A, Bahagian E, F, G
Jadual 4 Akta Cukai Keuntungan Hasil Tanah 1976

Nak tahu cara kira kos Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)? Baca artikel ini –> Cara Kira Kos RPGT – Cukai Keuntungan Harta dan Tanah

Kongsi Artikel Ini
Najib Mohamed
Najib Mohamed

PEA1827. Hari-hari minum kopi sambil baca post-post kakiproperty. Sudah 10 tahun menjejaki kaki di dalam industri hartanah. Perunding hartanah sepenuh masa dan bekerja sambilan sebagai office boy di KPGroup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *